
Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, ia meliputi 15 inisiatif: sembilan bantuan bayaran sekaligus dan bayaran bulanan kepada petugas barisan hadapan, sektor terjejas, peniaga kecil dan golongan B40 selain enam jenis diskaun.
Beliau berharap, bantuan kewangan itu akan membantu rakyat Sarawak yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang diumumkan semalam.
Abang Johari berkata, lima pakej bantuan dilaksanakan sebelum ini bernilai RM3.1 billion.
Beliau berjanji, setiap ketua keluarga B40 akan menerima RM250 sebulan bagi tempoh enam bulan bermula 31 Julai hingga 31 Disember, dengan golongan bujang kategori itu yang berumur 21 tahun ke atas menerima RM500 secara “one-off” mulai 31 Ogos.
Katanya, seramai satu juta rakyat Sarawak akan mendapat manfaat daripada bantuan itu yang akan menelan belanja sebanyak RM970 juta. Sementara itu, lebih RM27 juta pula akan diperuntukkan sebagai elaun bulanan khas bagi petugas barisan hadapan di Sarawak untuk tempoh enam bulan akan datang
Petugas kesihatan, yang merangkumi doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan di hospital, klinik dan pusat kuarantin di seluruh Sarawak, akan menerima RM300.
Anggota polis, tentera, pegawai imigresen, pegawai kastam, pegawai bomba dan penyelamat, Rela, kakitangan di bilik operasi negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menerima RM200.
Petugas media pula akan menerima bayaran sekaligus RM1,500, dengan RM900,000 dijangka diperuntukkan untuk tujuan itu.
Penjaja dan peniaga kecil akan menerima RM1,500 yang akan dibayar dalam dua peringkat; RM750 bulan Julai dan RM750 pada Disember.
Abang Johari berkata, sebanyak RM97.5 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.
Bantuan tunai satu kali sebanyak RM500 akan diberikan kepada pemilik dan pengendali lombong berdaftar di Sarawak, yang akan memberi manfaat kepada 200 pemilik dan pengusaha lombong dan akan melibatkan pembayaran sebanyak RM100,000.
Pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang didaftarkan di Sarawak masing-masing akan menerima RM600.
Inisiatif ini dirancang untuk memberi manfaat kepada 960 pengendali van penumpang, 1,980 pemandu teksi dan 740 pengendali bas sekolah dan van yang berdaftar di Sarawak. Sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.