Guru dari Shah Alam pecah rekod dunia Guinness lompatan sebelah kaki

Guru dari Shah Alam pecah rekod dunia Guinness lompatan sebelah kaki

Harinder Sekhon memecahkan rekod lompatan berdiri sebelah kaki pada akhir bulan lalu dengan catatan 1.38m berbanding 1.34m yang dicapai seorang pemain rugbi.

Harinder Sekhon berlatih menguatkan kakinya untuk cubaan memecahkan rekod lompatan berdiri sebelah kaki.
PETALING JAYA:
Hampir 10 tahun sejak kali terakhir Harinder Sekhon dapat menikmati sekeping kek atau capati dengan kari dal yang merupakan kegemarannya ketika kecil.

Namun, guru berusia 30 tahun itu menganggap pengorbanan kecil itu tidak setanding pencapaiannya.

Beliau gembira selepas berjaya memecahkan rekod dalam Guinness World Records untuk lompatan berdiri sebelah kaki pada akhir bulan lalu dengan catatan 1.38m berbanding 1.34m yang dicatatkan seorang pemain rugbi.

Penduduk Shah Alam itu mengambil bahagian dalam lompatan pada 23 Mei lalu dan menerima berita gembira daripada wakil Guinness World Records yang mengucapkan tahniah kepadanya lima hari kemudian.

“Saya terkejut. Beremosi. Emosi bercampur aduk,” katanya kepada FMT sambil menambah peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu biasanya atlet dunia terkemuka.

Sekhon aktif dalam sukan sejak berusia 14 tahun, dengan minatnya dalam kriket menyaksikan beliau pernah bermain untuk Kuala Lumpur, sebelum mewakili Malaysia sehingga 2016.

Harinder Sekhon mengamalkan diet ketat dan latihan harian untuk kekal sihat.

Sejak Disember tahun lalu, guru matematik itu berlatih menguatkan otot teras dan kaki, dengan rutin pagi terdiri daripada yoga selama 20 minit dan tiga jam latihan harian.

Katanya, diet yang ringkas dan sihat membantunya kekal fokus terhadap latihan hariannya.

Sarapannya terdiri daripada empingan oat, sebiji epal dan dua biji telur, manakala roti sandwich perang dengan ayam panggang dan sayur-sayuran untuk makan tengah hari serta pasta atau beras perang dengan ikan bakar atau ayam ketika makan malam.

“Pada ulang tahun kelahiran saya, keluarga saya makan kek. Saya tegas kerana merasakan ia mungkin menghalang apa yang saya mahu capai.

“Saya pernah makan coklat sekali-sekala, tetapi sejak saya memulakan latihan lompatan pada Disember, saya berhenti makan coklat,” katanya sambil menambah sejak lonjakan kes Covid-19, beliau mengajar dari rumah dan memulakan latihan selepas kelas.

Sasaran berikutnya ialah memecahkan rekod untuk lompatan berdiri dengan kedua-dua kaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.