
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 5 Jun hingga 18 Jun ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid -19.
Di Sarawak, PKPD dilaksanakan di Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah selepas 37 orang dilaporkan positif hasil daripada 87 ujian saringan dilakukan.
Di Sabah, ia melibatkan Kampung Pengaraban, Kudat dengan lapan dikesan positif.
Sementara itu di Tawau, empat lokaliti dikenakan PKPD melibatkan Taman Milenium, Taman Wawasan, Kawasan Semarak dan Kampung Jawa Kongsi 10.
“Sehingga kini, KKM merekodkan 96 kes positif, iaitu 16 kes di Taman Milenium, Taman Wawasan (13), Kawasan Semarak (55) dan Kampung Jawa Kongsi 10 (12),” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP.
PKPD di negeri itu turut dilaksanakan di Kampung Sugud, Penampang, selepas 12 dikesan positif.
Di Pahang, PKPD dikenakan di kawasan Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin, dengan 12 kes positif dikesan.
Sementara itu Ismail turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 18 Jun susulan masih berlaku penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 1,462 ujian saringan dan 239 daripadanya disahkan positif,” katanya.
Lanjutan turut dibuat di sebanyak 15 Mukim dalam daerah Besut, Terengganu.
Sementara itu, PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Besut, Terengganu, Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang, Kampung Indani, Semporna, dan Kampung Pisang, Tawau, Sabah ditamatkan mulai esok.
Penamatan PKPD juga turut membabitkan enam mukim iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan), Hulu Bernam Timur serta dua lagi Mukim iaitu Bagan Serai, Parit Buntar di Perak, Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kelantan dan Kampung Boyan, Kuching, Sarawak juga bermula esok.
Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan, polis semalam menahan 987 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 939 dikompaun, 47 direman manakala seorang dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (218), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (196), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (135), membawa penumpang berlebihan (127), tiada penjarakan fizikal (125), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (68), aktiviti pusat hiburan (35), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (71),” katanya.
Menurutnya, pada tempoh sama pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng menangkap 11 lagi pendatang asing tanpa izin dan merampas sebuah kenderaan.