Anwar ajak rakyat bangkit ‘ubah’ kerajaan

Anwar ajak rakyat bangkit ‘ubah’ kerajaan

Ketua pembangkang itu mendakwa sudah tiba masanya rakyat bangkit menuntut perubahan pentadbiran negara berikutan kegagalan kerajaan yang gagal menguruskan krisis pandemik Covid-19.

Anwar mempertikaikan tindakan kerajaan menghukum golongan mengkritiknya dengan menggunakan undang-undang darurat yang disifatkan sebagai satu penderaan kepada rakyat.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengajak rakyat bangkit menuntut perubahan pentadbiran negara berikutan kegagalan Kabinet Muhyiddin Yassin yang didakwanya “tempang” menguruskan krisis pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan rakyat merana.

Malah, Presiden PKR itu mendakwa kerajaan diibaratkan sebagai “samseng” dengan menangkap golongan pengkritiknya menggunakan alasan darurat yang sepatutnya digunakan untuk melicinkan urusan berdepan Covid-19.

Anwar berkata, percanggahan antara menteri, ketidaktentuan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh dan kelembapan mendapat vaksin menunjukkan ketidakmampuan pemerintah dibina atas dasar khianat serta hilang keabsahan.

“Nak kuasa tapi tidak boleh buat kerja dengan teratur…kesannya derita rakyat bertambah. Jumlah meninggal dunia, sakit dalam ICU dan positif semakin meningkat tetapi ujian besar-besaran belum ditingkatkan.

“Maksudnya data itu dipertikai, berdasarkan data analitik kita dibuat secara saintifik ternyata data diberikan tidak tepat dan berlaku penipuan secara terang-terangan yang kemudiannya diperbetulkan,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Presiden PKR secara maya hari ini.

Program itu bagi menggantikan perasmian Kongres Nasional PKR yang sepatutnya berlangsung pagi ini tetapi diarah supaya ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Anwar turut mempertikaikan tindakan kerajaan PN menghukum golongan mengkritiknya, dengan menggunakan undang-undang darurat yang disifatkan sebagai satu penderaan kepada rakyat.

Beliau memberikan contoh bagaimana seorang individu dihukum dan diugut hanya kerana bertanya pihak mana mendapat kontrak mengendalikan laman sesawang pendaftaran vaksin yang gagal berfungsi dengan baik.

“Ini negara apa, kepimpinan samseng? Guna darurat (sepatutnya) untuk licinkan pentadbiran tetapi dera rakyat. Masalah kelembapan vaksin, mereka kata Selangor sudah diberikan 2.9 juta vaksin yang nasib baik dijelaskan kerajaan Selangor jumlahnya hanya lebih 600,000.

“Mereka kata akan dapat vaksin Mac dan suntik 75,000…yang dapat hanya 25,000 kemudian naik 45,000 pada April. Dengan jangkaan sekarang ini dan ikut unjuran tidak mungkin selesai akhir tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sekali lagi mengulangi pendirian pakatan itu yang terbuka untuk bekerjasama dengan “musuh tradisi” mereka, bagi meruntuhkan kerajaan PN yang didakwanya dibarisi pemimpin yang rakus dan tamak kuasa.

“Kita pernah bekerjasama dengan musuh-musuh ini sebelum ini. Tetapi dengan syarat, untuk belajar dari kesilapan masa lalu.”

Kenyataan itu berbeza dengan suara Pemuda PKR yang lantang menolak kerjasama politik dengan Dr Mahathir Mohamad, sama seperti disuarakan sayap Wanita pada Jumaat.

Gesaan untuk tidak bekerjasama itu adalah antara usul diluluskan pada akhir kongres yang berlangsung semalam, bersama seruan PH untuk memasuki pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan Anwar sebagai calon perdana menterinya.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan jajaran baharu bukan bermakna pakatan itu mahu membolot kuasa.

“Janganlah anggap kita nak bolot kuasa, kita perlu ada kesepakatan dalam semua aspek kerana kita lihat ada kesenjangan yang nyata dalam PN ketika ini,” kata Anwar sambil menyifatkan nakhoda negara ketika ini tiada hala tuju dalam membangunkan ekonomi dan rakyat.

“Negara tak boleh terhoyong-hayang, kita kena tegas dan tak boleh bertolak ansur. Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti tetapi kita masih terpalit dengan isu mengumpul khazanah, mengumpul kekayaan untuk keluarga itu keluarga ini.

“Rasuah…kalau rakyat izinkan ini berlaku, ini bermakna negara akan terus dilanda krisis dan malapetaka amat dahsyat dan akhirnya negara tidak akan mendapat keberkatan untuk tangani Covid-19.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.