PKPD 6 lagi lokaliti di Sabah, satu di KL

PKPD 6 lagi lokaliti di Sabah, satu di KL

PKPD dilaksanakan selama 14 hari dari 10 hingga 23 Jun ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA:
Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di enam lokaliti di Sabah dan satu di Kuala Lumpur.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari dari 10 hingga 23 Jun ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19.

Di Sabah ia membabitkan Kampung Kebayau, Kota Belud, dengan 11 daripada 16 individu disaring disahkan positif Covid-19.

PKPD turut dilaksanakan di Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Kudat, dengan tujuh individu dikesan positif, selain Taman Wawasan, Beaufort, susulan 23 kes positif direkodkan.

Sementara itu, dua lokaliti di Sentosa, Sandakan membabitkan Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B Taman Indah Jaya turut dikenakan PKPD.

“Sehingga kini, sebanyak 10 kes dilaporkan di Kampung Sungai Obar, Batu 7 hasil saringan ke atas 27 penduduk, manakala di Fasa 9B Indah Taman Indah Jaya, 18 kes positif direkodkan selepas 112 penduduk menjalani ujian saringan,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP.

PKPD turut di laksanakan di Kampung Likas, Kota Kinabalu, selepas 22 individu dilapor positif.

Sementara itu, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur juga dikenakan PKPD susulan 65 kes positif direkodkan.

Ismail turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Ladang FGV Kalabakan Selatan, Kalabakan, Sabah sehingga 22 Jun, manakala PKPD di Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor dilanjutkan sehingga 23 Jun susulan masih berlaku jangkitan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Tanjung Manis, Mukah, Sarawak, dua lokaliti dalam daerah Tawau, Sabah membabitkan Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik, Taman Desa Ranggu dan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan ditamatkan mulai esok.

Selain itu Ismail berkata, polis semalam menahan 970 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 917 individu dikompaun, 49 direman, manakala empat lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (265), tidak memakai pelitup muka (203), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (133), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (120), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (117), membawa penumpang berlebihan (111) dan lain-lain (21),” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh sama pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng menangkap 21 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.