
Menerusi kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
“Kerajaan mengambil maklum titah pandangan Agong sepertimana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara pada 16 Jun 2021.
“Menjunjung titah pandangan Agong, kerajaan akan mengambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” menurut kenyataan.
Menurut kenyataan itu, ketika sesi menghadap Sultan Abdullah sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum dan menasihati Agong mengenai perjalanan pengurusan pandemik Covid-19, penguatkuasaan Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara serta perkara lain berkaitan.
Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Sultan Abdullah berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara berkaitan Covid-19.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu.