
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 19 Jun hingga 2 Julai ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid -19.
Di Sarawak PKPD membabitkan sembilan rumah panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Matu, iaitu Rumah Panjang Salim anak Unang, Rumah Panjang Judy anak Kudi, Rumah Panjang Mathew anak Merang, Rumah Panjang Danggang anak Ujang, Rumah Panjang Lait anak Ijang, Rumah Panjang Chandi anak Kilau, Rumah Panjang Putut anak Jugah, Rumah Panjang Sadin anak Jeli dan Rumah Panjang Mador anak Rendah.
“Seramai 84 penghuni telah disaring dan daripada jumlah itu, 48 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti 57.14%.
“KKM juga mendapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Sementara itu di Johor, PKPD membabitkan asrama pekerja warga asing dan kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, di Segamat.
“Dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan apabila 52 kes positif telah dikesan setelah 488 individu disaring dengan kadar positiviti 10.7%,” katanya.
Ismail turut memaklumkan PKPD di kawasan Semarak, Tawau dan Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah dilanjutkan sehingga 2 Julai susulan masih berlaku jangkitan di lokaliti terbabit.
Sementara itu, PKPD di dua lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah, iaitu Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan tamat hari ini bermula 11.59 malam.
PKPD turut ditamatkan di daerah Besut, Terengganu; dua lokaliti, iaitu Taman Milenium dan Kampung Jawa Kongsi 10 di Tawau, Sabah; serta Rumah Panjang Sigah anak Lak dan Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah, Sarawak bermula 11.59 malam esok.
Ismail turut memaklumkan 764 lagi individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu 722 individu dikompaun manakala 42 lagi individu direman.