
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata 80% daripada keseluruhan penduduk di lima kawasan itu akan divaksin sepenuhnya menjelang hujung Ogos, menjangkaui sasaran untuk memvaksin 40% populasi pada masa itu.
Bercakap pada forum dalam talian bertajuk “The Path to Herd Immunity” anjuran Oxford & Cambridge Society Malaysia semalam, Khairy berkata kerajaan terlebih dulu menyasarkan negeri besar.
“Jika kita boleh meningkatkan pemberian dos sebelum Ogos atau September, selebihnya boleh diselesaikan menjelang hujung September atau dari Oktober dan seterusnya,” katanya menurut CodeBlue.
Khairy berkata, ini diikuti Johor dan Pulau Pinang yang dijangka 80% keseluruhan penduduk di dua negeri itu divaksin menjelang Oktober, seterusnya Kelantan pada November.
Tambahnya, usaha vaksinasi akan diteruskan di negeri lain sehingga hujung tahun.
Katanya lagi, kerajaan menyasarkan untuk memberikan 52 juta dos vaksin kepada 26 juta orang menjelang hujung tahun ini, iaitu 80% penduduk Malaysia.
Khairy berkata jumlah dos diberikan dari Jun hingga Ogos dijangka berganda dari 5.8 juta kepada 14.4 juta, susulan penghantaran vaksin lebih pantas dijangkakan.
“Saya diarahkan oleh Kabinet dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya mempercepatkan usaha vaksinasi, lalu telah merunding semula beberapa jadual penghantaran.
“Itu berjaya dilaksanakan dan kini Pfizer memberi komitmen menghantar 25 juta dos dalam suku ketiga tahun ini, seterusnya mempercepatkan usaha vaksinasi,” katanya.
“Kami juga telah merunding semula penghantaran Sinovac, dengan keseluruhan 12 juta ditempah akan diterima menjelang hujung Julai.
“Selain itu, kami bekerjasama dengan AstraZeneca untuk memastikan masalah yang dilihat berlaku di Thailand, di mana kita mendapat bekalan, akan diatasi,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Khairy berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak akan memasuki perkampungan dan estet untuk menyuntik orang ramai yang tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera.
“Kami akan menghantar pemvaksin ke situ dan penduduknya akan menerima vaksin. Butiran mereka akan dimuat naik ke sistem kemudian, bagi memudahkan golongan itu divaksin secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, walaupun ada negeri di mana kadar vaksinasi lebih tinggi berbanding yang lain, perjalanan merentas negeri hanya akan dibenarkan selepas sekurang-kurangnya 60% keseluruhan penduduk negara ini telah menerima suntikan penuh.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi hari ini mengumumkan empat lagi PPV di institusi pendidikan tinggi (IPT) akan dibuka mulai 21 Jun.
Ini termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Hospital UiTM Puncak Alam.
Menurut kementerian itu, sejumlah 19 PPV IPT juga kini dalam perancangan, menjadikan jumlah keseluruhannya 41.
Setakat 11 Jun, sejumlah 134, 932 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV IPT.