Kadar pemberian vaksin terus catat rekod tertinggi

Kadar pemberian vaksin terus catat rekod tertinggi

177,876 individu telah menerima dos pertama vaksin semalam sementara 43,830 lagi menerima dos kedua.

Jumlah suntikan vaksin harian telah melepasi sasaran bagi bulan Julai sebanyak 200,000 untuk tiga hari berturut-turut.
PETALING JAYA:
Kadar pemberian vaksin di seluruh negara terus meningkat dan mencatatkan rekod tertinggi dengan 221,706 dos diberikan setakat semalam.

Angka terbaharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerusi ciapan di Twitter berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Katanya, seramai 177,876 individu telah menerima dos pertama vaksin semalam sementara 43,830 lagi menerima dos kedua, menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin Covid-19 yang diberikan sepanjang program vaksinasi bermula sebanyak 5,330,654.

Dengan jumlah pemberian 221,706 dos semalam menyaksikan jumlah suntikan harian vaksin telah melepasi sasaran bagi bulan Julai sebanyak 200,000 untuk tiga hari berturut-turut yang pertama kali dicatatkan pada 15 Jun (215,876 dos) manakala 204,839 dos pada 16 Jun.

Antara tiga negeri yang menerima suntikan tertinggi ialah Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.

Sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan untuk memberikan purata 150,000 vaksin sehari bulan ini sebelum ditingkatkan kepada 200,000 suntikan sehari menjelang bulan Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.