
Dalam kenyataan, LLM turut mengarahkan Syarikat Konsesi Projek Lintasan Damansara Shah Alam (PLDSASB), Jurutera Perunding Zaidun Leeng (ZLSB), Jurutera Perunding Bebas, Ranhill Bersekutu (RBSB) untuk menilai dan membuat pemeriksaan lanjut berhubung insiden tersebut.
“Ia termasuk reka bentuk perancah yang digunapakai merangkumi faktor keselamatan, tatacara kerja, keperluan prosedur dan dokumentasi yang dilaksanakan, pengawasan di tapak dan lain-lain aspek kemungkinan insiden merangkumi jentera, bahan binaan, keadaan tapak, struktur sedia ada dan faktor persekitaran,” kata kenyataan itu hari ini.
LLM turut memastikan kerja-kerja pembinaan tidak diteruskan sehingga kerajaan berpuas hati dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil.
Kata kenyataan itu lagi, kerja melibatkan perancah bagi struktur sementara, melibatkan baki sepuluh lokasi termasuk lokasi kemalangan hanya akan diteruskan sehingga kerajaan berpuas hati dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil.
Sementara itu, LLM bersama Syarikat Konsesi dan Juruperunding termasuk Lembaga Jurutera Malaysia, JKKP dan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan mengkaji penambahbaikan melibatkan kerja-kerja pembinaan lebuh raya baharu.
LLM juga merakamkan penghargaan kepada PLDSASB kerana telah membantu menguruskan penghantaran balik jenazah dan sumbangan kepada keluarga mangsa yang meninggal.
“LLM juga merakamkan penghargaan kepada PLDSASB kerana telah membantu mengurangkan kesulitan terhadap keluarga mangsa yang terlibat,” kata kenyataan itu..