Gol tunggal Sterling tewaskan Czech, Croatia mara ke pusingan kalah mati

Gol tunggal Sterling tewaskan Czech, Croatia mara ke pusingan kalah mati

Luka Modric membantu Croatia mencipta kemenangan 3-1 sekali gus membawa naib juara Piala Dunia itu ke pusingan 16 terakhir Euro 2020.

Jordan Henderson melakukan rembatan ke gawang Czech pada perlawanan pagi tadi. (Gambar AP)
LONDON:
Jaringan awal Raheem Sterling membantu England menewaskan Republik Czech 1-0 di Wembley sekali gus menguasai carta liga Kumpulan D Euro 2020.

Gol tandukan seawal minit ke-12 itu turut menandakan England bakal kembali ke Wembley pada pusingan kalah mati minggu depan menentang pasukan tempat kedua Kumpulan F yang akan ditentukan hari ini.

Pengendali England, Gareth Southgate melakukan empat perubahan dalam pasukan yang dikritik hebat selepas sekadar mencatatkan keputusan 0-0 ke atas Scotland dengan menurunkan Jack Grealish dan Bukayo Sako buat kali pertama dalam pertandingan itu.

Pemain tengah Chelsea, Mason Mount tidak diturunkan kerana menjalani kuarantin mengikut syarat protokol Covid-19 dengan Southgate memilih untuk merehatkan Phil Foden bagi mengelakkan risiko penggantungan.

Pertahanan Manchester United, Harry Maguire turut membuat penampilan pertama di Euro Euro 2020 bersama-sama John Stones di pertahanan tengah.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Luka Modric membantu Croatia mencipta kemenangan 3-1, sekali gus membawa naib juara Piala Dunia itu ke pusingan 16 terakhir Euro 2020.

Nikola Vlasic meledak gol pembukaan Croatia pada minit ke-17 sebelum Callum McGregor menyamakan kedudukan buat Scotland.

Modric bagaimanapun meletakkan Croatia kembali di hadapan apabila meledak jaringan pada minit ke-62 dan turut membantu Ivan Perisic melengkapkan kemenangan pasukannya.

Croatia mara selaku naib juara Kumpulan D di belakang England dan walaupun tewas Czech bagaimanapun turut melangkah ke peringkat kalah mati sebagai satu daripada pasukan tempat ketiga terbaik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.