Ivermectin: Biar keputusan dibuat berdasarkan bukti kukuh, gesa kumpulan kesihatan

Ivermectin: Biar keputusan dibuat berdasarkan bukti kukuh, gesa kumpulan kesihatan

Gabungan Kesihatan Malaysia menegaskan sebarang keputusan mengenai penggunaan ubat antiparasit itu dalam merawat Covid-19 tidak boleh dipengaruhi politik, campur tangan awam.

Gabungan Kesihatan Malaysia berkata, penggunaan Ivermectin tanpa preskripsi atau arahan doktor boleh mengakibatkan bahaya malah mampu menyukarkan lagi program imunisasi kebangsaan.
PETALING JAYA:
Gabungan Kesihatan Malaysia menggesa supaya sebarang penggunaan Ivermectin dalam rawatan Covid-19 hanya dibuat berdasarkan bukti kukuh tanpa dipengaruhi faktor politik atau campur tangan awam.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata terdapat tekanan yang tinggi untuk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan penggunaan ubat tersebut, termasuk desakan supaya ia diedarkan secara besar-besaran dengan segera bagi mengekang Covid-19.

“Kami percaya proses NPRA ini mesti dibuat bukan semata-mata kerana permintaan popular atau laporan polis, sebaliknya hanya berdasarkan bukti yang kukuh.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan bahawa Ivermectin hanya dapat digunakan dalam ujian klinikal. Penggunaan Ivermectin tanpa preskripsi atau arahan doktor boleh mengakibatkan bahaya malah mampu menyukarkan lagi program imunisasi kebangsaan,” katanya.

Tegasnya, tiada negara yang telah meluluskan penggunaan Ivermectin untuk rawatan atau mencegah Covid-19, termasuk Agensi Perubatan Eropah dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap Kementerian Kesihatan baru-baru ini oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana tidak menggunakan ubat tersebut untuk merawat pesakit Covid-19.

Pada masa sama, kumpulan berkenaan turut menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap penjualan Ivermectin secara haram, yang didakwa aktif dijual di pasaran gelap susulan permintaan tinggi akibat dakwaan yang palsu atau mengelirukan mengenainya yang tersebar dalam talian.

Menurutnya, Ivermectin dijual dengan harga yang sangat tinggi dari bekalan veterinar dan sumber “tidak diketahui”, walaupun ia belum diluluskan untuk kegunaan manusia di Malaysia.

“Kami menyokong tindakan membanteras penjualan Ivermectin di pasaran gelap kerana menyokong preskripsi ubat yang selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 6 Jun lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Ivermectin digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika, dan belum ada bukti konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.