Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadli Shamsuddin berkata demikian dalam kenyataan selepas pertemuan Agong dengan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara, Rais Yatim pagi tadi.
“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan,” kata kenyataan Istana Negara.
Agong juga berpandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
“…khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” katanya.
Istana Negara mengingatkan bahawa “pandangan dan seruan” dalam kenyataan itu merupakan “pendirian” Agong dan Raja-raja Melayu yang bertindak sebagai raja berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.