England padam ‘badi’ Jerman, bakal bertemu Ukraine di suku akhir

England padam ‘badi’ Jerman, bakal bertemu Ukraine di suku akhir

England yang masih belum dibolosi selepas empat perlawanan, akan berkunjung ke Rome untuk aksi suku akhir, Sabtu ini bertemu Ukraine.

Raheem Sterling meraikan gol pembukaan menentang Jerman di Wembley awal pagi tadi. (Gambar AP)
LONDON:
Raheem Sterling dan Harry Kane memastikan England mara ke suku akhir Euro 2020 dengan kemenangan 2-0 ke atas Jerman yang menamatkan ‘luka’ berdekad terhadap musuh ketat itu awal pagi tadi.

Sterling membuka jaringan 15 minit sebelum perlawanan pusingan kedua di Wembley itu berakhir dan Kane memastikan kemenangan pertama England ke atas Jerman di peringkat kalah mati sejak 1966.

Dalam tempoh 55 tahun sejak England menewaskan Jerman di final Piala Dunia 1966, skuad ‘The Three Lions’ mengalami kekalahan demi kekalahan di tangan ‘Die Mannschaft’.

England disingkirkan daripada Piala Dunia 1970, 1990 dan 2010 oleh Jerman yang turut menewaskan mereka menerusi sepakan penalti di separuh akhir Euro 96 di Wembley.

Ia adalah kemenangan kedua England di pusingan kalah mati dalam sejarah Kejuaraan Eropah dan kemenangan pertama ke atas Jerman di Wembley sejak 1975.

Sementara itu, Artem Dovbyk menjaringkan gol pada minit ke-121 bagi membantu Ukraine menewaskan Sweden yang beraksi 10 pemain 2-1 selepas tamat masa tambahan untuk mengesahkan slot ke suku akhir Euro 2020 sebentar tadi.

Oleksandr Zinchenko meletakkan Ukraine di depan pada minit ke-27 di Glasgow, tetapi Emil Forsberg berjaya menyamakan kedudukan buat Sweden sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan keempatnya dalam kejohanan kali ini.

Sweden bernasib malang apabila Marcus Danielson dilayangkan kad merah ketika masa tambahan.

Situasi itu nyata memberi kelebihan buat Ukraine dengan Dovbyk menanduk masuk gol selepas menerima hantaran daripada Zinchenko untuk membawa Ukraine ke suku akhir.

England yang masih belum dibolosi selepas empat perlawanan akan berkunjung ke Rome untuk aksi suku akhir, Sabtu ini bertemu Ukraine.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.