Jarak dos pertama, kedua AstraZeneca dipendek ke 9 minggu

Jarak dos pertama, kedua AstraZeneca dipendek ke 9 minggu

Penerima dos pertama akan dihubungi untuk janji temu dos kedua.

Syor sebelum ini mensyaratkan selang masa suntikan dos kedua AstraZeneca adalah selama 12 minggu, bagaimanapun kerajaan memutuskan untuk memendekkan selang suntikan dos kedua kepada 9 minggu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Selang tempoh antara dos pertama dan kedua bagi vaksin AstraZeneca (AZ) akan dipendekkan kepada sembilan minggu, berbanding selang 12 minggu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin.

Melalui ciapan di Twitternya, Khairy berkata, bekalan vaksin Covid-19 menerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) bersetuju memendekkan selang tempoh dos berkenaan selepas mendapat syor daripada kumpulan kerja teknikal bersandarkan ‘jadual jelas penghantaran’ vaksin berkenaan.

“Kepada peserta yang mendapat dos pertama suntikan AZ akan dimaklumkan bagi janji temu kedua tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penghantaran sejumlah sejuta vaksin AZ sumbangan Jepun yang tiba ke negara ini, hari ini.

Semalam, Khairy menekankan tiada keperluan mencapuradukkan jenis vaksin berlainan di negara ini kerana data bagi tujuan itu masih tidak menyakinkan bagi pihak kerajaan memberi lampu hijau.

“Kita (kerajaan) berterusan melakukan kajian dan sekiranya keputusan boleh diambil, kami akan melakukan pengumuman. Namun, buat ketika ini, anda akan diberikan dos kedua vaksin sama seperti diterima pada dos pertama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.