
PETALING JAYA: Hasil pendapatan transaksi e-dagang menokok 30% bagi suku pertama tahun ini membabitkan RM254.6 bilion, berbanding RM195.9 bilion pada suku sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu dipacu sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Seterusnya pada tahun 2020, pendapatan e-dagang merekodkan RM896.4 bilion meningkat 32.7% berbanding tahun sebelumnya.
“Perbandingan suku tahun-ke-suku tahun pula, RM195.9 bilion direkodkan pada suku tahun pertama 2020, diikuti RM216.9 bilion pada suku tahun kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Uzir berkata, pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku tahun ketiga apabila merekodkan RM238.2 bilion dan RM245.4 bilion pada suku tahun keempat tahun yang sama.
Beliau berkata, prestasi lebih baik ini didorong norma baharu Covid-19 yang merangsang kepada adaptasi digital dalam kalangan pemain e-dagang.
“Pendapatan e-dagang meningkat 22.8% pada tahun 2019, berbanding 2017, mencatatkan RM675.4 bilion.
“Pendapatan e-dagang 2019 bagi pasaran tempatan dijana daripada jualan di Malaysia meningkat 21.7% kepada RM591.8 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Uzir berkata, jualan e-dagang di peringkat antarabangsa pula meningkat 31.9 % kepada RM83.5 bilion.
Katanya, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Business to Business (B2B) meningkat 13.0% kepada RM449.6 bilion dan diikuti Business to Consumer (B2C) yang meningkat 53.3% kepada RM194.0 bilion.
“Pada masa yang sama, Business to Government (B2G) turut meningkat 55.7% kepada RM31.8 bilion. Seterusnya penggunaan internet turut merekodkan peningkatan 11.9% kepada 85.2%, diikuti komputer 7.3% kepada 86.2% dan ‘web presence’ 16.1% kepada 53.9%.
“Sektor maklumat dan komunikasi dan kewangan dan takaful/ insurans menggunakan sepenuhnya internet dan komputer dalam perniagaan mereka,” katanya.