EU perjelas isu vaksin untuk ke Eropah

EU perjelas isu vaksin untuk ke Eropah

Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia berkata, kemasukan ke negara anggota EU dibenarkan bagi sesiapa yang telah disuntik vaksin lengkap menggunakan vaksin yang diluluskan blok itu.

Laporan baru-baru ini mendakwa mereka yang disuntik vaksin AstraZeneca dihasilkan SK Bioscience di Korea Selatan atau Siam Bioscience Thailand tidak boleh melawat Eropah.
PETALING JAYA:
Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia (DEUM) menyifatkan sebagai tidak berasas, kebimbangan segelintir pihak bahawa individu yang disuntik vaksin AstraZeneca diterima di Malaysia tidak boleh melawat negara di benua itu.

Dalam kenyataan, badan itu berkata kemasukan ke negara anggota dibenarkan secara prinsip bagi sesiapa yang telah menerima suntikan vaksin lengkap menggunakan vaksin yang diluluskan Kesatuan Eropah (EU), “termasuk yang dihasilkan di kemudahan yang tidak diliputi kelulusan pemasaran EU.”

“Negara anggota juga boleh membenarkan kemasukan untuk orang yang disuntik vaksin yang belum diluluskan di EU, tetapi telah melengkapkan proses penyenaraian kecemasan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Tiada halangan atau masalah.”

Menurut laporan baru-baru ini, sijil covid digital EU hanya mengiktiraf vaksin yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA) untuk pergerakan bebas di dalam blok itu. Ini dilaporkan tidak merangkumi vaksin AstraZeneca dihasilkan SK Bioscience Korea Selatan atau Siam Bioscience (Thailand), yang kedua-duanya membekalkan vaksin ke Malaysia.

Buat masa ini, EMA hanya meluluskan vaksin AstraZeneca yang dibuat di EU, Amerika Syarikat, United Kingdom dan China.

Sementara itu, DEUM berkata, sijil covid digital EU dibuat untuk memudahkan pergerakan dalam blok berkenaan sebagai bukti seorang penduduk atau warganya telah divaksin, disahkan negatif atau telah pulih daripada jangkitan virus itu.

“Sijil itu bukannya syarat untuk perjalanan di dalam EU atau dokumen wajib. Ia sekadar alat yang praktikal,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, negara anggota bebas menerima dokumentasi vaksin dari negara pihak ketiga, asalkan menyertakan nama pengembara, jenis vaksin diterima dan tarikh suntikan diberikan.

“Pelancaran sijil covid digital EU ini kini memudahkan pengeluaran sijil Covid-19 yang setara antara Malaysia dan EU. Perkara ini akan dibincangkan lebih meluas dengan pihak berkuasa sewajarnya di Malaysia dalam tempoh terdekat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.