
PETALING JAYA: Dua ujian kendiri menggunakan sampel air liur untuk saringan Covid-19 selesai dikaji oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kedua-dua kit ujian berkenaan mempunyai kadar sensitiviti melebihi 90%.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Twitter.
“Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA) sedang memperincikan panduan penggunaan dan akan selesai minggu depan,” katanya.
Pada 8 Mei, Noor Hisham mengumumkan terdapat dua syarikat menawarkan kit ujian berkenaan untuk dijual di farmasi tempatan.
Dua jenis peranti berbeza itu membolehkan masyarakat membuat saringan secara kendiri tanpa perlu lagi pergi ke pusat ujian kerana masalah jarak dan kekangan masa yang terhad.