
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) perkara itu diputuskan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, hari ini.
Zafrul bertanggungjawab memantau pelaksanaan strategi dan bantuan; serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik, kata kenyataan itu.
“JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut Covid-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas,” tambahnya.
“Selain itu, mesyuarat turut bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar kesihatan, ekonomi dan sosial bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital dan juga strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia.”
Tambah kenyataan itu, pembabitan kumpulan profesional, terutamanya pakar kesihatan awam dan ekonomi, adalah dalam usaha memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul.
“Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.
“Justeru, kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif,” katanya.