
Dalam kenyataan, pakatan itu berkata, tawaran terbaru Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melanjutkan lantikan doktor kontrak hingga Disember 2022 bukan jalan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka panjang sektor perubatan negara.
Justeru PH mendesak KKM memastikan proses penilaian dan pemilihan doktor untuk lantikan tetap dibuat dengan adil, telus dan berdasarkan merit.
“Kriteria untuk lantikan tetap juga haruslah dijelaskan secara terperinci dan telus untuk kebaikan pekerja kesihatan bagi mengurangkan persepsi ketidakadilan yang mungkin berlaku semasa proses pemilihan lantikan tetap,” katanya.
Dalam pada itu PH berkata, doktor kontrak harus diberi peluang sama seperti doktor lantikan tetap untuk menerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan menyertai program Master of Medicine atau “parallel pathways”.
“Ini dapat dilakukan melalui satu keputusan Kabinet dan perubahan polisi dalaman. Doktor kontrak yang terima HLP juga harus diberi lantikan kontrak yang panjang sehingga melengkapi program latihan pakar dan seterusnya memenuhi kewajiban kontrak di bawah HLP,” kata PH.
Sementara itu PH berkata, pekerja kesihatan kontrak harus diberikan layanan yang adil dan saksama seperti pekerja kesihatan lantikan tetap kerana mereka mempunyai tanggungjawab dan beban kerja yang sama serta menghadapi risiko jangkitan yang sama di tempat kerja.
“Ini termasuk gaji, cuti tugas khas dan lain-lain,” katanya.
Justeru PH berpendapat kerajaan harus mengkaji semula keperluan keseluruhan sumber manusia dalam sektor kesihatan termasuklah doktor, doktor pakar, jururawat serta profesional kesihatan bersekutu dan seterusnya merangka dasar baharu untuk memastikan bekalan yang sepadan pada masa depan.
“Sepanjang pandemik Covid-19 ini, kita dapat lihat bagaimana pengorbanan semua pekerja kesihatan termasuk pekerja kontrak. Mereka adalah wira negara yang bukan sahaja harus mendapat sokongan dan sanjungan daripada semua pihak, tetapi lebih penting haruslah diberikan layanan yang lebih saksama dan juga kestabilan dalam kerjaya mereka,” katanya.
Sistem doktor kontrak diperkenalkan pada 2016 sebagai langkah sementara untuk penempatan doktor pelatih sehingga mereka tamat tempoh khidmat wajib.
Setakat ini, seramai 23,000 doktor kontrak diambil berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan sebahagian kecil, iaitu 789 orang daripada mereka diberi lantikan tetap.