Jangan tambah tekanan ‘frontliners’, kata Saifuddin berhubung kempen kerajaan gagal

Jangan tambah tekanan ‘frontliners’, kata Saifuddin berhubung kempen kerajaan gagal

Saifuddin berkata petugas barisan hadapan di sektor kesihatan dan agensi lain sudah keletihan, malah mengalami “sindrom” kelesuan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah bimbang kempen kerajaan gagal memberi tekanan kepada barisan depan.
PETALING JAYA:
Kempen kerajaan gagal yang lantang diperkatakan di media sosial sememangnya dilihat sebagai kebebasan bersuara, namun tindakan itu akhirnya hanya memberi tekanan kepada petugas hadapan mengawal penularan Covid-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan agensi lain sudah keletihan, malah mengalami “sindrom kelesuan” berikutan pandemik Covid-19 yang terus mengganas sejak virus itu dikesan awal tahun lalu.

Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya tidak terus “menyerang” kerajaan dengan pelbagai kempen kerajaan gagal yang akan menambah kerunsingan dan tekanan kepada ‘frontliners’.

“Kita harus ingat ‘frontliners’ kita sudah keletihan dan kelesuan, jadi kalau kita menularkan apa-apa pandangan, gambar atau video yang hanya sebabkan ‘frontliners’ kita bertambah pening bertambah runsing, itu tidak akan selesaikan masalah.

“Tidak dinafikan kita hidup dalam dunia komunikasi, sesiapa sahaja ada hak untuk lontarkan pandangan dan bersuara termasuk mengkritik kerajaan. Itu asas dalam negara demokrasi, tetapi harus ingat, kita sedang berhadapan dengan pandemik yang sangat serius dan luar biasa,” katanya pada sidang media maya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelan komunikasi sokongan kesihatan mental.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kewujudan pelbagai kempen dan gerakan di media sosial berhubung kerajaan gagal dan tindakan segelintir parti politik yang terus mendesak pentadbiran sedia ada berundur.

Tambah beliau, kestabilan yang dituntut menerusi kempen kerajaan gagal di media sosial ketika ini tidak harus tertumpu kepada perihal politik semata-mata, sebaliknya bersama mencari penyelesaian terhadap isu ekonomi yang sedang menghimpit rakyat.

“Jika tak mampu beri penyelesaian terhadap isu ekonomi yang sedang dihadapi, paling kurang jangan kita tambah kerunsingan ‘frontliners’ yang sedang berkorban dan berhempas pulas selamatkan ahli keluarga kita dan seluruh rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai pelan komunikasi sokongan kesihatan mental, Saifuddin berkata, kementerian menganjurkan program kesihatan mental berbentuk sesi temuramah sebanyak 44 episod yang disiarkan di rancangan Selamat Pagi Malaysia bermula 1 Jun lalu.

Program berkenaan adalah hasil kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lembaga Kaunselor Malaysia dan pihak lain seperti institusi pengajian tinggi (IPT).

Program itu membariskan penceramah daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran yang berkongsi tips penting bagaimana untuk mengurus kesihatan mental dan tekanan psikologi.

Selain itu, isu kehilangan pekerjaan dan pengangguran, masalah komunikasi dan sosial yang dihadapi oleh kanak-kanak dan dewasa serta tekanan di tempat kerja juga dibincangkan ketika rakyat berhadapan dengan situasi semasa yang cukup genting kini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kementerian juga akan berbincang dengan stesen TV lain sekiranya timbul minat bersama untuk melaksanakan program kesihatan mental.

“Kita juga sedang lihat bagaimana nak perluaskan program ini dalam surat khabar, guna bahasa selain Bahasa Melayu sekiranya ada keperluan dan kita akan cari jalan bagaimana ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.