
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar, berkata bayaran bagi kematian biasa sekitar RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu pakej, namun kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan bayaran mahal.
“Kes pengurusan mayat bukan Islam termasuk India, Cina dan Sikh bagi proses pengebumian (ditanam) atau dibakar yang paling asas dikenakan kos sekitar RM2,500 sahaja.
“Bagaimanapun, kita difahamkan oleh pihak keluarga bahawa kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan caj yang mahal mencecah RM5,000 dan ini memberi kesan serta membebankan keluarga yang baru sahaja kehilangan orang tersayang,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Jelas Arul, bayaran dikenakan terlalu tinggi itu sesuatu yang tidak boleh diterima dan ia termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.
“Antara alasan yang diberikan oleh beberapa syarikat yang mengendalikan urusan pengebumian mayat tersebut adalah mereka terpaksa menanggung kos tambahan iaitu bagi mendapatkan bahan sanitasi dan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
“Pihak kami sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membekalkan PPE dan bahan sanitasi bagi tujuan mengurangkan kos tersebut,” katanya.
Menurut Arul, setakat ini tidak berlaku isu monopoli dalam pengurusan mayat bukan Islam dan keluarga boleh memilih mana-mana syarikat mengendalikan proses tersebut mengikut kemampuan masing-masing.
“Saya juga berharap kepada semua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah Covid-19 dan pusat pembakaran mayat supaya tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi berbanding sebelum ini.
“Ini kerana mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak melalui proses upacara keagamaan seperti kebiasaan yang mengambil masa yang lama dan tidak melibatkan kos yang banyak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak dapat bersimpati dan tidak membebankan keluarga yang kehilangan ahli keluarga yang tercinta.
Tambah Arul, pihaknya juga telah menyemak dengan beberapa agensi kerajaan dan mendapati bukan hanya syarikat-syarikat tertentu sahaja yang ditetapkan bagi menguruskan mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19.
“Oleh itu, pihak keluarga boleh memilih mana-mana syarikat yang boleh menguruskan jenazah Covid-19 yang dapat menawarkan kos pengurusan yang lebih rendah mengikut kemampuan mereka.
“Saya juga berharap persaingan yang sihat antara syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti ini akan membantu keluarga dengan kos yang rendah,” katanya.
Sementara itu, sebuah persatuan Hindu menggesa Kementerian Kesihatan membantu meringankan beban kos pengurusan mayat Covid-19 terutama bagi keluarga berpendapatan rendah.
Dalam surat kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata penganut agama itu yang meninggal dunia akibat virus berkenaan terpaksa dimasukkan dalam keranda yang dibungkus dan disanitasi sebelum dibawa ke pusat pembakaran.
Beliau mencadangkan supaya persatuan berkenaan dibenarkan membantu masyarakat Hindu membantu keluarga terlibat membeli keranda sebelum mayat dibawa ke pusat pembakaran menggunakan khidmat kenderaan KKM dengan diuruskan pihak berkuasa tempatan, seperti sedia dilakukan bagi jenazah beragama Islam.