Titik hitam dalam sejarah, Tok Mat bidas isu batal Ordinan Darurat

Titik hitam dalam sejarah, Tok Mat bidas isu batal Ordinan Darurat

Timbalan presiden Umno itu menyifatkan tindakan kerajaan sebagai tidak berparlimen, tidak berperlembagaan dan tidak bertanggungjawab.

Mohamad Hasan berkata, pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan tidak sewajarnya.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menyifatkan tindakan mengejutkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak berparlimen dan tidak berperlembagaan.

Katanya, tindakan itu turut meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan tidak sewajarnya.

“Institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.

“Peristiwa ini adalah titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau senada dengan pengkritik lain yang menggesa individu terbabit dalam tindakan itu supaya mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan segera.

Pemimpin Umno lain, termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi turut menggesa Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Terdahulu, Agong mendedahkan pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan di Parlimen Isnin lalu, tidak mendapat perkenan baginda.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kenyataan Takiyuddin itu tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, kenyataan Istana Negara menjelaskan perkara sebenar yang pembatalan Ordinan Darurat dilakukan dengan membelakangkan Agong.

“Tindakan kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Peguam Negara mengundang murka Agong.

“Mereka tidak melaksanakan titah baginda agar cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.