
Seorang petugas di pusat berkenaan yang tidak mahu namanya didedahkan berkata warga asing yang kebanyakannya dari luar Lembah Klang, tiba sejak awal pagi di dua PPV berkenaan.
Bagaimanapun, pada saat akhir, ramai daripada mereka diarah meninggalkan lokasi itu dan pergi ke enam PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di sekitar Lembah Klang.
Kekecohan itu berlaku beberapa ketika sebelum Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijadual melawat dua PPV di Bukit Jalil berkenaan pada petang tadi.
Dalam gambar yang dikongsikan kepada FMT, satu notis pendek menyatakan semua warga asing perlu mendapatkan vaksin di Mitec, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan empat PPV di Selangor iaitu Pusat Konvensyen Setia City; Pusat Konvensyen Shah Alam; Pusat Konvensyen Midlands dan Wisma Huachong, Seri Kembangan.
Adalah difahamkan, semua warga asing tidak lagi dibenarkan mendapatkan vaksin di dua PPV berkenaan bermula esok walaupun mendapat temu janji melalui MySejahtera.
Justeru mereka terpaksa mendapatkannya di enam PPV berkenaan.
Sumber itu berkata, sebanyak 15,000 dos suntikan dijadual diberikan pada hari ini namun hanya 9,000 dos berjaya diberikan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil. manakala daripada 8,000 dos yang ditetapkan di PPV Axiata, hanya 6,000 sudah diberikan.
Semalam, Harian Metro melaporkan dua PPV mega berkenaan dibanjiri warga asing dari luar Lembah Klang dan situasi itu menimbulkan perasaan tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat.
Kebanyakan mereka adalah warga Bangladesh yang tiba dengan bas dipercayai datang dari Muar, Johor, Perak dan Negeri Sembilan untuk mengambil suntikan vaksin beramai-ramai sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa.