Polis berkas selebriti disyaki jadi ‘bapa ayam’

Polis berkas selebriti disyaki jadi ‘bapa ayam’

Susulan tangkapan itu polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah.

Kes disiasat bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. (Gambar AFP)
SEREMBAN:
Polis menahan seorang selebriti lelaki berumur 40-an selepas dipercayai terlibat kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Amran Mohd Ghani, berkata susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah, kira-kira 10 pagi.

Katanya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkus kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon bimbit semasa tangkapan berkenaan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Mangsa yang diselamatkan telah mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor,” katanya dalam kenyataan.

Amran berkata, lelaki itu kini ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula Ahad lepas.

Beliau berkata, lelaki itu juga dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.