Penganalisis politik UUM meninggal dunia

Penganalisis politik UUM meninggal dunia

Dr Achmad Dzariean Nadzri meninggal dunia selepas mengalami batuk dan sesak nafas.

Allahyarham Achmad Dzariean, 41, aktif memberikan pandangan kepada FMT berkisar isu semasa politik tanah air. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Achmad Dzariean Nadzri, meninggal dunia, pagi tadi, di rumahnya di Changlun, Kedah.

Berita itu disahkan adik beliau, Achmad Dzarim melalui Facebooknya sebentar tadi.

Difahamkan arwah mengalami batuk dan sesak nafas sebelum meninggal dunia.

“Abang saya Achmad Dzariean Nadzri telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini di kediaman beliau di Changlun, Kedah.

“Urusan pengebumian akan dimaklumkan nanti. Mohon sedekahkan al-Fatihah moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya dalam catatan itu.

Rakan seperjuangan arwah ketika di universiti turut berkongsi khabar duka itu di Facebook dengan rata-ratanya terkejut dengan pemergian seorang sahabat yang mesra disapa Che Mad oleh mereka.

“Dua hari lepas beliau masih aktif dalam kumpulan Whatsapp. Semalam beliau tidak aktif.

“Tiada lagi kedengaran suara Che Mad memanggil saya abang. Begitulah kehidupan, bila kita tidak pasti. Che Mad pergi dalam usia yang masih muda,” luahnya.

Achmad Dzariean, 41, aktif memberikan pandangan kepada FMT berkisar isu semasa politik tanah air.

Beliau meninggalkan seorang balu, Zulifah Mutalib dan lima anak, iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.