GPS kekal sokongan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin

GPS kekal sokongan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin

Gabungan itu juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehingga keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata, gabungan itu juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

“GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan itu dibuat selepas sesi perjumpaan khas Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, bersama Ahli-ahli Parlimen GPS di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

Gabungan itu juga menggesa semua pihak menghentikan politiking buat masa ini, dan semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Muhyiddin di Dewan Rakyat bulan depan.

“GPS menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19, hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu memaklumkan MKT Umno mengumumkan parti itu menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Ia menyaksikan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dipersoal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.