Azizulhasni hadiahkan perak buat Malaysia

Azizulhasni hadiahkan perak buat Malaysia

Azizulhasni menduduki tempat kedua di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Great Britain.

Azizulhasni Awang menamatkan saingan acara keirin Olimpik Tokyo 2020 dengan meraih perak. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat perak acara keirin Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, Shizuoka.

Azizulhasni menduduki tempat kedua di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Great Britain, manakala gangsa dimenangi Harrie Lavreysen dari Belanda.

Terdahulu, bekas juara dunia berusia 33 tahun itu beraksi cemerlang di peringkat separuh akhir untuk mara ke peringkat akhir.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Kenny mempamerkan kayuhan luar biasa sejak peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.

Digelar “The Pocket Rocketman” yang disandarkan harapan untuk meraih pingat emas, Azizulhasni memenangi pingat Olimpik pertamanya pada kejohanan di Rio 2016 dengan meraih gangsa dalam acara keirin, selepas gagal melayakkan diri ke peringkat akhir Olimpik Beijing 2008, dan menduduki tempat keenam pada Olimpik London 2012.

Kejayaan Kenny menyaksikan dominasi Britain dalam acara keirin lelaki berterusan sejak Olimpik Beijing 2008 lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.