
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai satu “kegilaan tahap maksimum” berikutan di luar negara sudah mempunyai varian berbahaya seperti Delta Plus dan Lambda.
“Sekiranya kerajaan berhasrat untuk bawa masuk varian-varian Lambda dan Delta Plus maka sila teruskan kegilaan ini,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran untuk pengembara warganegara atau bukan warganegara yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin.
Katanya, golongan itu dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah yang berkuat kuasa mulai Selasa ini.
Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan sepatutnya tidak mengulangi kesilapan pada Julai lalu apabila terpaksa membuat pusingan U berhubung kebenaran kuarantin di rumah.
Ketika itu, katanya Kluster Sivagangga dengan mutasi jenis D614G tercetus di negeri utara Semenanjung dan menyebabkan gelombang Covid baharu seluruh negara.
“Kerajaan tak rugi besar untuk arahkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin di pusat-pusat kuarantin atau hotel dipantau kerajaan sebab mereka yang pulang dari luar negara sudah tentu mampu untuk membayar kos kuarantin,” katanya.