
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata perkembangan terbaharu itu selaras keputusan dibuat Jemaah Menteri pada 14 dan 30 Julai lalu, selain melakukan penambahbaikan dasar baharu MM2H bertujuan menjana semula ekonomi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Sukacita saya maklumkan bahawa Program MM2H akan diaktifkan semula dan permohonan baharu akan diproses serta dikendalikan Jabatan Imigresen mulai Oktober 2021, setelah semua proses berkaitan perundangan selesai,” katanya pada sidang media di kementerian itu.
Katanya, kerajaan juga memahami kebimbangan rakyat berhubung kemasukan warga asing melalui Program MM2H, yang dikhuatiri menambah lambakan warga asing di Malaysia.
Oleh yang demikian katanya, kerajaan bersetuju memperkenal dan menetapkan siling bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu-satu masa iaitu tidak melebihi 1% daripada jumlah warganegara Malaysia.
“KDN memberi jaminan bahawa hanya peserta berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dibenarkan menyertai program ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengimbangi aspek keselamatan dan ekonomi, 10 syarat baharu MM2H diperkenalkan antaranya keberadaan di Malaysia sekurang-kurangnya selama 90 hari (kumulatif) dalam setahun, pendapatan luar negara (offshore income) peserta sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini.
Selain itu, pemilihan akaun simpanan tetap peserta sekurang-kurangnya RM1 juta dengan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak serta had umur di antara 35 hingga 49 tahun dan 50 tahun ke atas.
Katanya, tempoh pas lawatan sosial jangka panjang MM2H adalah lima tahun serta boleh dilanjutkan selama lima tahun lagi dan seterusnya, tertakluk kepada syarat permohonan.
“Antara syarat lain adalah pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, kadar fi pas dari RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses dikenakan sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan, pembaharuan pas, pertukaran prinsipal, pertukaran kewarganegaraan peserta dan tanggungan juga perlu menjalani dan lulus tapisan keselamatan.
“Selain itu, peserta juga perlu mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik (Letter of Good Conduct) untuk semua peserta dan tanggungan dan kerjasama KDN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta ejen-ejen pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini antara 10 negara tertinggi memohon menyertai MM2H membabitkan warganegara China lebih 1,000 permohonan; Jepun melebihi 200 permohonan; United Kingdom; Bangladesh; Korea; Singapura; Amerika Syarikat; Australia; Taiwan dan Indonesia.
Ahmad Dahlan bagaimanapun memaklumkan, terdapat beberapa negara senarai dilarang masuk Malaysia akibat penularan Covid-19 masih terpakai dan tidak dibenarkan menyertai program ini.
“Permohonan peserta akan ditapis oleh pihak polis, sudah pasti peserta dari negara dilarang (masuk Malaysia) masih aktif dan diteruskan,” katanya.