
Dalam satu kenyataan, pihak Rumah Prihatin Hotel Grand Season, berkata pengambilan vaksin secara daftar terus bagi warga asing adalah di PPV Bukit Jalil.
“Akibatnya, ‘rush crowd’ luar biasa berlaku di luar jangkaan pengurusan dan penguat kuasa,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada video tular berdurasi 7 minit 15 saat, yang memaparkan kesesakan orang ramai di Rumah Prihatin Hotel Grand Season, pagi tadi.
Dalam pada itu, Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons, berkata di peringkat awal, pihaknya mengambil tindakan bersama dengan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan.
Katanya, bagaimanapun warga asing itu tetap tidak mahu bersurai walaupun telah diberikan arahan dan amaran.
“Keadaan kembali diperbetulkan dengan bantuan polis dan DBKL. Program vaksinasi ini diuruskan oleh Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain.
“Pihak Rumah Prihatin kesal dengan apa yang terjadi dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dengan bantuan pihak berkuasa demi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi,” katanya.
Pihak Rumah Prihatin Hotel Grand Season juga menegaskan PPV itu hanya menerima pendaftaran terus khusus untuk warganegara Malaysia, dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan sahaja.
Terdahulu, FMT melaporkan PPV di Rumah Prihatin Hotel Grand Season mencetuskan kebimbangan penularan Covid-19 selepas dibanjiri orang ramai untuk divaksinasi, hari ini.
Situasi berkenaan yang ditularkan oleh pemilik Instagram, Umirah Mohd Taib, ketika dihubungi FMT berkata, dia ketika itu bersama suami dalam perjalanan ke Kampung Baru terkejut melihat kesesakan yang berlaku di PPV berkenaan.