
Malah, katanya, wanita berusia 32 tahun terbabit yang disahkan positif hasil saringan rentas negeri pada hari ke-10 itu juga telah berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses internet.
”Hasil beberapa siri saringan kontak rapat pada 29 Julai hingga 14 Ogos, terdapat pertambahan bilangan kes dalam kalangan kontak rapat dan kontak sosial kes indeks.
”Daripada 132 orang yang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif termasuk 13 kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sabah, hari ini.
Masidi berkata, dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu dan Kluster Tangkuyan di Kinabatangan adalah membabitkan jangkitan di tempat kerja dan dalam komuniti.
Katanya, Kluster Segama Batu Satu merupakan kluster tempat kerja yang
berlaku di sebuah syarikat perusahaan tayar dengan kes indeks membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun yang didapati positif hasil saringan di tempat kerja pada 12 Ogos.
”Punca jangkitan masih dalam siasatan namun risiko jangkitan didapati tinggi seperti keadaan rumah kongsi yang sesak serta aktiviti sosial dalam kalangan pekerja pada setiap petang.
”Semua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah) Lahad Datu.
”Daripada 39 kontak yang disaring, 18 individu dikesan positif termasuk 11 kes baharu hari ini manakala, 21 individu pula didapati negatif saringan pertama,” katanya.
Sementara itu bagi Kluster Tangkuyan pula, Masidi berkata, ia membabitkan penularan jangkitan dalam komuniti dengan kes indeks merupakan seorang kerani wanita di sebuah ladang sawit di Beluran.
Katanya, wanita terbabit disahkan positif hasil saringan di tempat kerja pada 9 Ogos dan dia kini telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.
”Hasil siasatan mendapati kes indeks mempunyai sejarah menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kampung Tangkuyan, Kuamut.
”Aktiviti siasatan kontak seterusnya mendapati seramai 128 kontak keluarga, sosial dan tanggungan telah didapati positif Covid-19.
”Sebanyak 129 kes positif termasuk 128 kes baharu direkod dalam kluster ini dan aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 serta disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan,” katanya.
Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 memaklumkan sebanyak 1,665 kes baharu dicatatkan hari ini dengan tiga lagi kes kematian turut direkodkan.