
Dalam kenyataan, Istana Negara mengumumkan peletakan jawatan Muhyiddin selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tengah hari tadi.
Muhyiddin akhirnya tunduk kepada tekanan selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada 7 Julai lalu.
Beliau memutuskan untuk berundur beberapa minggu sebelum dijadualkan berdepan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai perdana menteri di Dewan Rakyat bulan depan.
Menurut surat tular yang dikatakan daripada Speaker Dewan Rakyat kepada Istana, Muhyiddin mempunyai sokongan hanya 100 Ahli Parlimen.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac 2020 selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memegang kuasa selama 22 bulan susulan kemenangan mengejutnya pada PRU14.