
Katanya, undian itu akan mengesahkan keputusan Agong dan membuktikan keabsahan perdana menteri baharu untuk mentadbir.
Leong berkata, pentadbiran di bawah perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin menggunakan “segala muslihat yang ada” untuk mengelakkan undi percaya seperti menangguhkan sidang Parlimen dan mengisytiharkan krisis kesihatan.
Katanya, selama ini wakil rakyat tidak dapat mengawasi kerajaan dalam pengurusan pandemik dan krisis ekonomi.
“Kita tidak akan tahu kesan yang diterima akibat mengelak pembentangan usul undi percaya. Berapa banyak daripada 1.4 juta kes positif dan 12,510 kematian boleh dielakkan, berapa banyak perniagaan yang ditutup dan ribuan kehilangan pekerja boleh diselamatkan. Ini tidak harus berlaku lagi,” katanya dalam kenyataan.
Sambil menjelaskan bahawa tanggungjawab Kabinet secara kolektif adalah konvensyen perlembagaan, Leong berkata, tidak ada seorang pun menteri dalam Kabinet Muhyiddin layak untuk menjadi perdana menteri.
“Ia akan mempersendakan demokrasi berparlimen Malaysia jika seorang menteri dalam sebuah Kabinet yang gagal dilantik sebagai perdana menteri berikutnya,” katanya.
“Rakyat telah pun berasa malu dengan perdana menteri ke-7 yang meletak jawatan dengan niat untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-8. Tolong jangan malukan rakyat lagi.”
Beliau berkata, demi kestabilan dan demokrasi negara, semua pemimpin parti harus menerima keputusan pilihan raya umum ke-14 dan menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah selama lima tahun.
“Norma demokratik untuk menerima keputusan pilihan raya bermaksud PH harus dibenarkan untuk tempoh penggal yang masih ada. Ini perlu dilakukan. Bukan demi PH tetapi demi mengiktiraf mandat rakyat, demi negara dan demi demokrasi Malaysia.”