
Bagaimanapun beliau yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata, apa pun yang berlaku harapan rakyat adalah satu “pentadbiran” yang baharu, bukannya suatu “penyelesaian politik” pada waktu mencabar ini.
“Nampaknya kita sedang melalui satu lagi proses untuk memilih PM yang baharu berdasarkan pilihan parti.
“Sekali lagi, ini bermakna ia menjadi pertarungan angka dengan kemungkinan majoriti tipis. Mari kita nantikan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Facebook.
Presiden Warisan, Shafie Apdal dalam wawancara bersama Astro Awani semalam berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sesiapa sahaja yang terpilih sebagai perdana menteri baharu melalui akuan berkanun (SD) perlu menguji kesahihan sokongannya di Parlimen.
Sementara itu, satu pertemuan khas dijangka berlangsung membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan Raja-raja Melayu Jumaat ini bagi membincangkan isu bakal perdana menteri dan kerajaan.
Perkara itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin kepada Berita Harian.