Kerajaan baharu perlu sokongan bipartisan untuk bertahan lama, kata Ahli Parlimen Sabah

Kerajaan baharu perlu sokongan bipartisan untuk bertahan lama, kata Ahli Parlimen Sabah

Ahli Parlimen Tuaran Madius Tangau berkata Malaysia memerlukan lebih daripada perdana menteri dan kerajaan baharu.

Kerajaan baharu mesti mempunyai wawasan memperkenal paradigma baharu membabitkan persekutuan-negeri berkongsi dalam bidang kesihatan, ekonomi dan seterusnya.
KOTA KINABALU:
Perdana menteri baharu dan Kabinetnya tidak akan bertahan lama jika tidak mendapat sokongan bipartisan termasuk pelaksanaan dasar penting menekankan desentralisasi, kata bekas timbalan ketua menteri Sabah Wilfred Madius Tangau.

Sambil menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perdamaian antara parti, presiden Upko itu berkata, Malaysia memerlukan lebih daripada perdana menteri dan kerajaan baharu, sebaliknya gagasan baharu dalam menguruskan politik.

“Tiada kerajaan yang terbentuk kan stabil dengan sekadar mendapat 111 kerusi atau lebih sikit,” katanya dalam kenyataan.

“Begitu juga kita tidak memerlukan kerajaan perpaduan sekiranya berdasarkan ‘bloated parliment’ atau persaingan antara kementerian dengan parti tidak mempunyai kepercayaan antara satu sama lain walaupun berada di bawah satu bumbung.

“Apa yang kita perlukan adalah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dimeterai antara gabungan kerajaan atau parti dominan dengan parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, ini penting demi memastikan usul undi percaya, bajet, titah Diraja dan sebagainya diluluskan sebagai tukaran kepada layanan adil diberikan kepada pembangkang, selain mempertimbang pandangan berbeza membabitkan pelaksanaan polisi dan peraturan.

Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, beliau menyokong 10 poin ‘Perjanjian Rentas Parti demi Kestabilan Politik’ dicadangkan Bersih 2.0, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, pakej yang dicadangkan berkenaan adalah lebih “komprehensif dan berpandangan jauh” berbanding tujuh poin dalam pakej pembaharuan diumumkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Satu perkara jelas terpapar pakej dinyatakan Muhyiddin tidak menyentuh berkenaan desentralisasi,” katanya.

Sebagai perbandingan, persatuan sivil menyatakan pakej itu bermula dengan pembabitan tripartite merangkumi majlis persekutuan-negeri (FSC) dalam bidang ekonomi dan kesihatan yang dianggotai secara adil oleh wakil kerajaan persekutuan, pembangkang persekutuan dan 13 kerajaan negeri.

Mereka juga harus dibantu birokrat, panglima angkatan tentera, ketua polis dan pakar akademik dan persatuan sivil. Majlis berkenaan perlu menubuhkan jawatankuasa berkaitan keputusan penting dalam koordinasi wabak dan ekonomi, mempunyai fungsi sama seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika darurat.

Tangau berkata, semua parti perlu mengakui proses menangani wabak, termasuk menghidupkan semula ekonomi memerlukan banyak keputusan sukar yang berkehendakkan sokongan daripada pembangkang dan kerajaan negeri.

“Malangnya, disentralisasi tidak disertakan dalam perundingan pembentukan kerajaan mahupun survival kerajaan,” katanya sambil menambah mengeluarkan kerajaan negeri dan pembangkang daripada proses pembuatan keputusan penting akan menimbulkan kesan buruk.

Katanya, desentralisasi sangat diperlukan, bukan saja di Sabah dan Sarawak, malah merangkumi 11 lagi negeri lain di Semenanjung dan tiga Wilayah Persekutuan.

“Tidak cukup sekadar bekerjasama rentas parti di peringkat persekutuan antara kerajaan dan pembangkang.

“Kita memerlukan kerjasama lebih besar antara Putrajaya dan negeri lain. Negeri seperti Sabah dan Sarawak mesti diberikan lebih kuasa dalam menentukan hala tuju dasar kebangsaan.

“Memusatkan pentadbiran hanya di Lembah Klang atau kerajaan ‘satu saiz muat semua’ patut dilupuskan bersama politik siapa menang, ambil semua.

“Kerajaan baharu mesti mempunyai wawasan untuk memperkenalkan paradigma baharu membabitkan persekutuan-negeri yang berkongsi dalam bidang kesihatan, ekonomi dan seterusnya,” katanya.

Katanya, sekiranya mekanisme FSC berjalan, ia akan melakar laluan baharu jawatankuasa antara kerajaan 2.0 untuk perundingan Perjanjian Malaysia 1963, selain mengstruktur semula kuasa dan perhubungan antara persekutuan dan Sabah dan Sarawak dan juga negeri lain di Semenanjung.

“Saya akan mencadangkan FSC kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian program kerajaan dan saya berharap saudara dan saudari dalam Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melakukan perkara sama, begitu juga Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.