
Laluan politiknya menuju ke puncak bermula selepas dilantik sebagai ahli jawatankuasa Bahagian Umno Temerloh pada 1987, sejurus menjalankan amalan guaman selama dua tahun sebelum terjun ke bidang politik.
Beliau kemudian berada di barisan kepemimpinan tertinggi parti, menjadi Ahli Parlimen pada 2004, seterusnya dilantik dalam Jemaah Menteri membabitkan pentadbiran tiga perdana menteri.
Sepanjang laluan itu, liku-liku politik beliau pernah mencetuskan kontroversi membabitkan dakwaan bersikap perkauman sehingga membawa kepada laporan polis terhadapnya mengikut Akta Hasutan.
Ismail, 62, dilahirkan di Temerloh dan menerima pendidikan tempatan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah undang-undang di Universiti Malaya.
Karier politiknya bermula seawal 1995 apabila dilantik sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sabbaruddin Chik, selaras peningkatannya dalam politik di Bahagian Umno Temerloh.
Pada 1993, Ismail mengetuai sayap Pemuda dan diangkat menjadi timbalan ketua bahagian selama lapan tahun, sebelum dilantik mengetuai bahagian terbabit pada 2004, sekali gus menjadi tahun pertamanya sebagai Ahli Parlimen di kawasan pilihan raya baharu, Bera.

Selepas dipilih semula pada pilihan raya umum 2008, beliau dilantik memegang jawatan menteri belia dan sukan bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Setahun kemudian, bawah pentadbiran Najib Razak, beliau dilantik sebagai menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan.
Pada 2013, Ismail dilantik sebagai menteri pertanian dan industri asas tani, portfolio yang dipegang selama dua tahun sebelum bertukar sebagai menteri pembangunan wilayah dan luar bandar, pada 2015.
Pada 2018, selepas Ahmad Zahid Hamidi, dilantik sebagai presiden Umno, sejurus Najib meletakkan jawatan susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Ismail dipilih mengisi satu daripada jawatan naib presiden.
Sejak wabak Covid-19 membadai, Ismail adalah wajah yang sering menghiasi laporan berita untuk mendapatkan perkembangan baharu berhubung sekatan pergerakan.
Pada Julai lalu, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri, jawatan yang dikosongkan sejak Muhyiddin Yassin berkuasa.