Bot langgar boya, mayat lelaki ditemui

Bot langgar boya, mayat lelaki ditemui

Mayat Mohamad Ewandi Husnan, 22, yang masih dalam keadaan lengkap memakai seluar panjang berwarna hitam itu ditemui terdampar di kawasan paya bakau.

Pelanggaran itu menyebabkan semua mangsa terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika Pulau Lalang, namun tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.
ALOR SETAR:
Mayat seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaikinya bersama tiga rakan terlanggar boya di selatan Pulau Lalang dekat Langkawi pada Ahad lepas, ditemui di kawasan paya bakau di Kuala Temonyong, semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata, mayat Mohamad Ewandi Husnan, 22, yang masih dalam keadaan lengkap memakai seluar panjang berwarna hitam itu ditemui terdampar di kawasan paya bakau oleh orang awam pada 4.30 petang.

“Mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keluarga mangsa membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemui itu adalah Mohamad Ewandi berdasarkan pengecaman pakaian dan ciri-ciri fizikal mayat berkenaan.

Sebelum kejadian pada 10 pagi itu, mangsa dilaporkan bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 18 dan 53 tahun dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Pelanggaran itu menyebabkan semua mangsa terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika Pulau Lalang, namun tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.