
Dalam satu kenyataan, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng ke Perdana Putra selepas mendapat jemputan dari Pejabat Perdana Menteri.
“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Mohamad Sabu (Presiden Amanah), dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) bersama Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri.
“Ia atas jemputan Pejabat Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Pada Ahad lalu, Ismail dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri, beliau mempelawa parti pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Beliau turut merayu semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan “Keluarga Malaysia”.
“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan,” katanya.
Bagaimanapun, PH berkata mereka akan mempertimbangkan tawaran itu dan pada masa sama memastikan jemputan itu adalah ikhlas untuk menangani pandemik dan mengukuhkan kembali ekonomi.