
Ong yang banyak bekerjasama dengan Khairy ketika proses pemberian vaksin Covid-19 sebelum ini yakin Ahli Parlimen Rembau itu mampu menjalankan tugas lebih baik berbanding Dr Adham Baba.
“Walaupun saya kecewa tidak ada muka baharu yang dikatakan boleh memberi keyakinan kepada rakyat tetapi kita harap Kabinet baharu boleh beri satu hala tuju berbeza berbanding Kabinet sebelum ini menerusi kerjasama dengan pembangkang berdasarkan semangat bipartisan.
“Saya yakin KJ (Khairy Jamaluddin) boleh laksanakan tugas dalam portfolio baharu dengan kaedah jauh lebih baik berbanding menteri sebelum ini, harap kerjasama semasa beliau di MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dapat dilanjutkan di portfolio baharu,” katanya kepada FMT.
Dalam pengumuman Jemaah Menteri baharu oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Khairy dan Adham bertukar portfolio.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata, pelantikan Khairy ke portfolio baharunya mampu memantapkan lagi program vaksinasi negara.
“Memang tepat, sebelum ini dia jaga vaksin, jadi saya rasa sepatutnya (peranan) itu disatukan dan dia menjadi menteri kesihatan,” katanya ringkas kepada FMT.
Pemimpin DAP dan Umno itu turut sependapat bahawa jawatan timbalan perdana menteri perlu dikosongkan bagi meredakan suhu politik tanah air.
“Terdapat permintaan pelbagai parti untuk mencalonkan TPM dan bagi mengelakkan ketidaksefahaman dalam kerajaan baharu ini, tindakan untuk kosongkan jawatan itu buat sementara waktu adalah tepat buat masa ini,” kata Ong yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Nazri yang juga bekas menteri persekutuan berkata, tiada keperluan untuk mengisi jawatan nombor dua itu kerana Ismail sudah dibantu oleh empat menteri kanan yang mampu membawa kepada kestabilan dan pemulihan negara.
“Saya kira akan ada ‘understanding’ dan kita boleh bertahan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya yang menjangkakan Jemaah Menteri baharu itu turut diterima baik oleh pembangkang.
“Tindakan PM untuk berjumpa dengan ketua pembangkang sesuai dan dapat turunkan suhu politik di negara kita. Beliau tiada ‘baggage’ dan seorang yang cukup sederhana dalam tindakan,” kata Nazri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memuji keputusan menukar menteri kesihatan, walaupun barisan Jemaah Menteri baharu sebahagian besarnya sama, dengan hanya rombakan kecil.
“Perdana menteri bertindak berhati-hati, tetapi keputusannya tidak cukup untuk memuaskan hati orang ramai yang mahukan perubahan bermakna.
“Saya tidak fikir ini akan memberikan kestabilan politik dalam Umno kerana pasukan yang menjatuhkan Muhyiddin tidak mendapat sebarang manfaat,” katanya.