3 legenda bola sepak bantu ‘bakar’ semangat rakyat Malaysia

3 legenda bola sepak bantu ‘bakar’ semangat rakyat Malaysia

Bekas legenda pemain bola sepak - Soh Chin Aun, Santokh Singh dan James Wong - akan berucap di satu forum antarabangsa.

Tiga bekas pemain legenda bola sepak negara Soh Chin Aun, Santokh Singh dan James Wong akan berkongsi perjalanan susah senang mereka sepanjang karier.
PETALING JAYA:
Tiga bekas pemain legenda bola sepak negara akan membantu inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menaikkan semangat rakyat yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19 yang nampaknya masih tiada kesudahan.

Bekas legenda pemain bola sepak – Soh Chin Aun, Santokh Singh dan James Wong – akan berucap dan berkongsi pengalaman mereka di “Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa 2021: Membangkitkan, Menyusun dan Membangun Semula Pasaran Buruh”.

Jurucakap penganjur berkata, permulaan wabak yang membawa gelombang penderitaan kepada dunia dalam banyak aspek dengan aktiviti ekonomi paling ketara terkesan dan kemampuan individu untuk terus bekerja serta menampung kehidupan turut menunjukkan kesan negatif.

“Ketiga-tiga pemain ini berdepan banyak kesulitan dalam kebangkitan dan kejatuhan pasukan Malaysia dan mempunyai semangat juang tinggi, jadi kisah peribadi mereka akan dapat memberi semangat kepada rakyat Malaysia terutama pada saat sukar ini,” katanya.

Selain penampilan trio itu, forum turut menampilkan penceramah terkemuka dari International Social Security Association (ISSA) dan pelbagai institusi pasaran buruh yang akan mengupas mengenai amalan terbaik dalam dasar yang berkaitan dengan pekerjaan.

Di Malaysia, PERKESO telah melancarkan misi untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial melalui Perkhidmatan Insurans Pekerjaan (EIS) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

“Kita membantu ribuan orang yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Sebagai sebahagian daripada misi, ini adalah usaha tambahan untuk membawa semua dari seluruh dunia menerusi satu platform,” katanya.

PERKESO berkata, acara pada 6 hingga 9 September itu akan menampilkan program termasuk “simposium digimos kembali bekerja” untuk pengamal pengurusan kurang upaya di seluruh Asia Tenggara dan “simposium perkhidmatan pekerjaan awam” yang menampilkan pelbagai aspek perniagaan dan individu serta bagaimana mereka bertahan ketika pandemik.

Ia menampilkan pakar dalam sektor tenaga kerja, mental dan kesihatan serta bidang ekonomi yang terkesan teruk oleh pandemik Covid-19.

Forum ini akan diakhiri dengan Ekspo Kerjaya yang menyaksikan 10,000 peluang pekerjaan akan disediakan bagi pencari kerja.

Ia terbuka kepada semua tanpa sebarang bayaran. Mereka yang berminat boleh mendaftar di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.