PM tak hadir istiadat angkat sumpah Kabinet, dikuarantin mulai hari ini

PM tak hadir istiadat angkat sumpah Kabinet, dikuarantin mulai hari ini

Perdana menteri akan menyertai sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya esok secara maya.

Ismail Sabri Yaakob menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini selepas disahkan menjadi kontak rapat kes Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak dapat menghadiri istiadat mengangkat sumpah anggota Jemaah Menteri petang ini kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini selepas disahkan menjadi kontak rapat kes Covid-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, perdana menteri akan menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya secara maya esok.

Semua menteri dan timbalan menteri baharu dijadualkan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 2.30 petang ini.

Jumaat lalu, Ismail mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharunya yang kebanyakannya terdiri daripada orang sama di bawah pentadbiran terdahulu dengan sedikit perubahan seperti bekas menteri sains, teknologi dan inovasi, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai menteri kesihatan.

Ismail dijadualkan menyampaikan perutusan khas sempena Hari Kebangsaan yang akan disiarkan secara langsung 9 malam ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.