
Justeru Menterinya, Khairy Jamaluddin meminta rakyat bersabar sebelum SOP itu dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya minta sabar sekejap,” katanya dipetik Sinar Harian dalam sidang media hari ini.
Sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Jun lalu, perjalanan rentas negeri sebahagian besarnya dilarang, kecuali untuk perkhidmatan perlu, kecemasan atau kematian dan perubatan.
Akan tetapi Putrajaya pada awal bulan lalu mengumumkan kelonggaran SOP untuk individu lengkap divaksin, termasuk pasangan jarak jauh dibenarkan merentas negeri untuk melawat satu sama lain.
Ibu bapa yang divaksin sepenuhnya juga dibenarkan merentas negeri untuk melawat anak mereka berusia 18 tahun ke bawah.
Sehubungan itu beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagi tujuan tersebut.
“Kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan bakal mengundang risiko, berikan tempoh sikit lagi,” katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa negeri yang masih rendah nilai ambang vaksinasi seperti Sabah, Kelantan, Perak, Kedah, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.
Katanya, menjelang akhir September, semua negeri akan mencapai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus.
Kali terakhir rakyat menikmati kelonggaran rentas negeri adalah pada penghujung tahun lalu sebelum larangan dikuatkuasakan pada 11 Januari tahun ini.