Jaguh badminton paralimpik menang emas kedua negara

Jaguh badminton paralimpik menang emas kedua negara

Cheah Liek Hou menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15, sekali gus meraih pingat emas pertama paralimpik negara dalam sukan badminton.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou melakar sejarah apabila merangkul pingat emas sukan itu dalam aksi final kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ini kali pertama sukan badminton diperkenalkan dalam sukan paralimpik.

Juara dunia enam kali itu menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final tadi yang berlangsung selama 50 minit.

Kemenangannya seterusnya meraih pingat emas kedua negara dalam temasya sukan berkenaan.

Semalam, Cheah menepati ramalan apabila melangkah ke final selepas mengatasi pemain Taiwan, Fang Jen Yu 15-21, 21-10, 21-16 dalam aksi separuh akhir di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

Sebagai rekod, Cheah menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ketika aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikannya muncul sebagai juara.

Sebelum ini, emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah disumbangkan oleh Atlet paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting dalam kelas 72kg.

Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaiknya 228kg sekali gus memecahkan rekod temasya yang sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan ketika di Rio de Janeiro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.