
Beliau berkata, tindakan itu tidak wajar kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad adalah lebih tinggi dalam hal pelantikan perdana menteri.
“Bersatu mengambil pendirian bahawa usul ini (undi percaya) di Dewan Rakyat minggu depan adalah tidak perlu.
“Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang lebih tinggi. Saya rasa penghormatan perlu kita beri kepada keputusan tersebut dan kuasa ini sebenarnya kuasa Agong yang membuat keputusan bahawa sudah ada bilangan cukup seperti diumumkan (mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen),” katanya menurut portal PNBBC.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, usul undi percaya tidak diletakkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang minggu hadapan.
Pengarah komunikasi PKR itu berkata, aturan urusan mesyuarat Parlimen diterimanya menetapkan antara usul terawal adalah berkenaan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan cadangan itu adalah daripada menteri dalam negeri.
Terdahulu, Wan Saiful dalam satu hantaran di Facebook meminta semua pemimpin pembangkang, terutama DAP agar menunaikan janji untuk meredakan suhu “panas” politik negara seperti dititah Agong.
Bagaimanapun katanya, kenyataan pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang semalam menggambarkan keadaan sebaliknya.
“Kenyataan terbaharu DAP menyatakan tiada kerjasama jika tiada undi percaya terhadap perdana menteri.
“Mana pergi janji pembangkang yang mahu hilangkan suhu panas politik? Cukup-cukuplah,” katanya.
Wan Saiful merujuk kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu yang mengatakan kemungkinan untuk mencapai perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi antara pihak kerajaan dan pembangkang kini tergugat.