Kalau ibu tak boleh, bapa pun jangan benarkan, kata Azalina tentang isu kerakyatan anak

Kalau ibu tak boleh, bapa pun jangan benarkan, kata Azalina tentang isu kerakyatan anak

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, apa ruginya membenarkan anak yang dilahirkan ibu warganegara Malaysia di luar negara diberikan kerakyatan automatik.

Azalina Othman Said mempersoalkan sama ada wanita mempunyai banyak kekurangan berbanding lelaki sehingga anak yang dilahirkan ibu warganegara Malaysia di luar negara tidak boleh mendapat kerakyatan negara ini secara automatik. (Gambar Rawpixel)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said menggesa kerajaan menarik balik keputusan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan kerakyatan automatik diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Jika kerajaan hendak berlaku adil, beliau mencadangkan supaya kebenaran untuk bapa menurunkan kerakyatannya kepada anak yang lahir di luar negara dibatalkan.

“Speaker ialah peguam, saya ialah peguam, sampai hari ini saya tak faham apa ruginya (membenarkan kerakyatan ibu diturunkan kepada anak mereka yang lahir di luar negara).

“Saya nak maklumkan kepada perdana menteri, menteri kena berlaku adil kepada semua. Kalau ibu tak dapat, bapa juga jangan beri. Kenapa ibu tak boleh, bapa boleh? Adakah wanita banyak kekurangan daripada lelaki?” soalnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Pendirian Azalina disokong Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang menyarankan kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah serta-merta.

Azalina menjawab: “Terima kasih YB (Nga), saya sokong juga YB jadi timbalan speaker ketiga”, yang disambut dengan tepukan dan gelak tawa Ahli Parlimen lain.

Pada 24 Sept lalu, Kabinet bersetuju meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan ibu secara automatik diturunkan kepada anak yang lahir di luar negara.

Susulan desakan banyak pihak supaya kerajaan tidak membuat rayuan itu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, kerajaan akan mencadangkan kepada Majlis Raja-raja untuk meminda perlembagaan persekutuan berhubung kerakyatan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Beliau berkata, cadangan itu perlu dibawa kepada Raja-raja Melayu sebelum kerajaan boleh meneruskan draf pindaan perlembagaan itu.

Katanya, beliau bersimpati dengan kes melibatkan ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara hasil perkahwinan dengan lelaki warga asing yang tidak dapat memberikan taraf kerakyatan kepada zuriat mereka.

“Tetapi sebagai seorang menteri yang telah mengangkat sumpah untuk menjunjung perlembagaan persekutuan, saya terikat dengan perlembagaan dan perundangan sedia ada,” kata Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.