Ketua Bersatu Putrajaya keluar parti, kembali ke pangkuan Umno

Ketua Bersatu Putrajaya keluar parti, kembali ke pangkuan Umno

Turut menyertai Umno adalah naib ketua, setiausaha, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Wanita dan Pemuda serta lebih 120 ahli Bersatu Putrajaya.

Erwan Mohd Tahir (baju kuning) menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Umno Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor. (Gambar UMNO)
PETALING JAYA:
Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya, Erwan Mohd Tahir, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta dan kembali menyertai Umno.

Erwan berkata, keputusan itu diambil selepas melihat hanya Umno berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi semasa pandemik Covid-19.

“Saya percaya hanya Umno dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-raja Melayu seperti mana yang dinyatakan dalam asas dan tujuan penubuhan Umno dan juga setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara,” katanya menurut laporan Umno Online.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini.

Turut bersama beliau menyertai Umno adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Wanita dan Pemuda serta lebih 120 ahli Bersatu Putrajaya.

“Kami menyatakan sokongan penuh kepada naib presiden Umno yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Diharapkan Perdana Menteri dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.