
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan oleh mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi penggunaan sebagai dos penggalak.
Katanya, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat berkaitan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko vaksin tersebut kekal positif.
“Mesyuarat telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 Pfizer, iaitu ‘Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection’ (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.
“Vaksin Comirnaty sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021,” kata beliau dalam kenyataan.
Hisham berkata, KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.