
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Razlan Muhamad Rafii, bagaimanapun berpandangan langkah terbaik ialah segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk tujuan itu.
“Rakyat perlu diberi keyakinan semula terhadap sistem perundangan negara. RCI siasat buku Tommy Thomas antara jalan terbaik untuk menyiasat apa sebenarnya terjadi semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah.
“Kebenaran perlu dibongkar, sekiranya dapatan RCI ini mencukupi untuk membawa mana-mana pihak ke muka pengadilan, ia satu kemestian,” katanya kepada FMT.

Razlan turut mendakwa sebaik PH memerintah Putrajaya, rakyat dihidangkan pelbagai insiden melanggar batas perundangan.
“Tak pernah audio dipamerkan di khalayak oleh penjawat awam selain di mahkamah, tidak pernah ada kes sedang berjalan di mahkamah digugurkan, dan tidak pernah begitu banyak jumlah kes didakwa ke atas seorang individu.
“Ini semua terjadi kerana politik sudah memasuki sempadan perundangan tanpa batasan, PH hanya mahu menunjukkan kepada rakyat dendam mereka dan betapa kuasa mereka boleh membunuh karektor lawan politik mereka,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terhadap dakwaan Thomas.
Katanya, pasukan petugas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.
“Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Peguam Negara bertindak sebagai urusetia.
“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini, antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Tommy mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” kata Ismail.