
Rakyat Malaysia berusia 24 tahun itu terpaksa menjalani ‘lockdown’ dalam tempoh yang lama, iaitu, lebih 250 hari dan masih belum tamat.
Umeshshanker tidak dapat pulang ke tanah air kerana ini mungkin menyebabkannya tidak dapat kembali ke Australia, di mana beliau bercadang memulakan kerjaya sebagai akauntan.
Kini beliau menetap di kawasan pinggir bandar Chadstone.
“Saya bertuah kerana menetap dengan ibu dan bapa saudara, serta sepupu di sini, jadi saya ada keluarga bersama saya. Namun, lebih sukar kerana tiada pilihan untuk pulang ke tanah air, atau untuk ibu bapa saya datang,” katanya.
“Antara perkara yang saya lakukan untuk berasa terhubung dengan Malaysia adalah memasak dan menempah makanan Malaysia, serta berhubung dengan rakan-rakan saya di Malaysia, lebih lagi berbanding ketika saya masih belajar.”
“Bukan mudah, tetapi sampai satu ketika, jadi terbiasa. Lebih sukar apabila hanya boleh tunggu sahaja keadaan bertambah baik supaya ‘lockdown’ akhirnya dapat ditamatkan.”
Pengumuman kerajaan bahawa sempadan antarabangsa akan dibuka semula setelah 90% populasi orang dewasa diberi vaksin memberikan sedikit harapan buat Umesh dan ramai lagi sepertinya.

Australia telah mengumumkan negeri-negeri yang telah memberi vaksin kepada 80% populasi dewasa akan dibenarkan menerima pelancong yang lengkap vaksinasi mulai bulan depan.
“Saya mula fikir saya akan dapat jumpa keluarga saya tahun depan, tetapi kini nampaknya seperti saya akan dapat jumpa mereka lebih cepat lagi,” kata Umeshshanker.
“Tempoh kuarantin yang lama mungkin akan menjadi halangan kecil, tetapi sekurang-kurangnya, sempadan tidaklah begitu tertutup lagi.”
Natasha Lama, yang tinggal di Windsor, juga membuat keputusan yang sama dengan terus menetap di sana kerana tidak mahu melepaskan kerjaya sebagai jurulatih peribadi dan meninggalkan pengajian dalam bidang kesihatan awam.
Walaupun Natasha beruntung kerana berpeluang tinggal bersama adik lelakinya hampir sepanjang tahun lepas, kepulangan adiknya ke tanah air pada hujung tahun menjadikan 2021 lebih sukar buat wanita berusia 23 tahun itu.
“Pembukaan sempadan mengujakan, dan sudah tentu saya ingin pulang segera, esok kalau boleh,” katanya.
“Namun, saya hanya boleh pulang apabila Australia membenarkan pelajar antarabangsa kembali ke sini jika kami keluar, jadi saya terpaksa tunggu sedikit masa lagi.”